Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions

22.01.2019_SESI LAWATAN BAGI YANG BERHORMAT AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT NEGARA KE TAPAK-TAPAK PERUSAHAAN PERIKANAN, KEMENTERIAN SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN DI DAERAH BRUNEI DAN MUARA

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan pada hari ini telah mengadakan lawatan ke beberapa lokasi Tapak-Tapak Perusahaan Perikanan di Daerah Brunei dan Muara bagi rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) seramai 14 orang. Lawatan ini adalah merupakan beberapa siri lawatan yang telah disusun oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan bagi mengongsikan serta memberigakan mengenai dengan perkembangan dan pencapaian terkini aktiviti-aktiviti industri perikanan di Negara Brunei Darussalam. Selain daripada itu, program lawatan kerja ini juga memberikan pendedahan kepada Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara mengenai dengan teknik serta sistem perladangan moden dan teknologi-teknologi terkini yang digunapakai oleh pengusaha-pengusaha dalam meningkatkan keluaran dan produktiviti perusahaan masing-masing; penglibatan anak-anak tempatan sebagai pemilik secara persendirian ataupun usahasama (joint-venture) dengan pengusaha-pengusaha asing; dan juga peluang-peluang pekerjaan yang mampu disediakan untuk anak-anak tempatan.

 

Hadir menyertai lawatan bersama rombongan tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Yang Mulia Pengiran Haji Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Md Ishak, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Yang Mulia Awang Haji Abdul Halidi bin Mohd Salleh, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Pemangku Pengarah Perikanan serta pegawai-pegawai kanan KSSUP dan Jabatan Perikanan.

 

Lawatan tersebut bermula di kawasan Ternakan Ikan Dalam Sangkar Tanjong Pelompong, iaitu Syarikat Nur Az-Zahra Aquaculture yang dimiliki oleh Awang Muhd Azhar bin Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz. Syarikat yang dimiliki oleh anak tempatan ini mengusahakan  ternakan Ikan Kerapu Hibrid, Ikan Selungsong, Ikan Merah, Ikan Putih dan Kerapu di atas kawasan tapak berkeluasan 1 hektar yang menempatkan sebanyak 24 buah sangkar. Syarikat ini mula diusahakan sejak bulan Mac 2018 dan telah menghasilkan pengeluaran sebanyak 1.138 tan metrik bagi tahun 2018.

 

Lawatan diteruskan ke Syarikat Tong Kee Products (B) Sdn. Bhd iaitu sebuah syarikat usahasama diantara pengusaha tempatan dengan pelabur asing dari Hong Kong. Syarikat ini mengusahakan ternakan Ikan Kerapu Hibrid Dalam Sangkar di atas tapak seluas 5 hektar bermula pada bulan Disember 2017. Kini, Syarikat mempunyai 150 buah sangkar dan memfokuskan kepada pasaran eksport ikan hidup ke Hong Kong. Pada tahun 2018, Syarikat ini telah menghasilkan pengeluaran sebanyak 45.788 tan metrik Ikan Kerapu Hibrid.

 

Lawatan seterusnya ialah ke kapal penangkapan ikan milik Syarikat Gemilang Seri Shunfan Venture Sdn. Bhd bertempat di Kompleks Pendaratan Ikan Muara. Syarikat ini adalah syarikat usahasama tempatan dengan pelabur asing dari Republik Rakyat China yang menjalankan perusahaan penangkapan ikan laut di Zon 4. Syarikat mempunyai sebanyak 7 buah kapal dan telah mula beroperasi sejak bulan Mei 2018. Hasil pengeluaran pada tahun 2018 adalah sebanyak 237.8 tan metrik.

 

Lawatan diakhiri dengan lawatan ke Syarikat Yamako Pacific (B) Sdn Bhd, yang juga merupakan sebuah syarikat usahasama tempatan dan pelabur asing dari Jepun yang telah memulakan perusahaan sejak bulan April 2018. Perusahaan syarikat termasuk pemprosesan Ikan Tuna dan Skipjack bagi penghasilan Tuna Loin, Tuna Saku, Negitoro dan Skipjack Mince, dengan fasiliti 4 unit pemprosesan dan 1 cold storage. Pasaran syarikat pula adalah kebanyakkannya tertumpu ke Negara Jepun. Hasil pengeluaran pada tahun 2018 adalah sebanyak 297.88 tan metrik.

 

Program lawatan bagi Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara akan diteruskan lagi dengan siri lawatan kedua iaitu lawatan ke Tapak-Tapak Perusahaan Pertanian di Daerah Brunei Muara pada hari Sabtu, 26 Januari 2019.

 


Jabatan Perikanan

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan

Negara Brunei Darussalam


Jamadilawal 1440 / 22 Januari 2019



Attachments