Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

30_11_2022_MAKLUMAN MENGENAI KEADAAN CUACA DAN IKLIM DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BAGI PARA NELAYAN DAN PENGUSAHA-PENGUSAHA TERNAKAN IKAN DALAM SANGKAR KEMENTERIAN SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN

Menurut kenyataan dari Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi yang bertarikh 28 November 2022 bahawa Negara Brunei Darussalam sedang memasuki Monsun Timur Laut yang dikenali sebagai Musim Tengkujuh yang akan bermula pada awal bulan Disember 2022 dan ianya dijangka berterusan sehingga bulan Mac 2023, yang mana negara akan mengalami keadaan cuaca yang tidak menentu yang disertai hujan lebat atau hujan berpetir dan angin kencang yang boleh membahayakan keselamatan nelayan-nelayan dan boleh menjejaskan perusahaan ternakan ikan dalam sangkar di perairan Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, Jabatan Perikanan ingin menasihatkan kepada para nelayan untuk mengikuti langkah-langkah keselamatan yang disediakan oleh pihak Berkuasa Maritim Dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) selaras dengan saranan keselamatan kepada nelayan-nelayan seperti:

  • sentiasa mengikuti perkembangan ramalan cuaca harian;
  • memakai jaket keselamatan semasa menaiki bot dan sepanjang menjalankan aktiviti menangkap ikan;
  • memastikan bot dalam keadaan baik sebelum menjalankan aktiviti menangkap ikan; dan
  • memaklumkan rancangan perjalanan dan keberadaan sebelum/semasa menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Ketidak tentuan cuaca ini juga boleh menjejaskan kualiti air di perairan Sungai Brunei, justeru itu para pengusaha ternakan ikan dalam sangkar disarankan untuk sentiasa berhati-hati dalam penjagaan sangkar ternakan ikan bagi menghindari berlakunya perkara yang tidak diingini. Sebagai langkah-langkah penjagaan ternakan ikan dalam sangkar disarankan untuk tidak melaksanakan penyimpanan benih ikan di dalam sangkar pada masa ini. Walau bagaimanapun, jika penyimpanan benih ikan tetap diteruskan, para pengusaha hendaklah mengikuti beberapa langkah seperti:

  • memindah dan menyimpan benih ikan di dalam kolam atau tangki dengan persekitaran yang terkawal mengikut garispandu Amalan Baik Akuakultur atau menempatkannya di posisi tengah-tengah sangkar jauh dari arus air kuat;
  •  memastikan benih ikan adalah bebas dari sebarang penyakit mengikut keputusan ujian makmal Jabatan Perikanan dan memasukkan benih ikan pada kadar yang rendah iaitu 30 ekor/m3;
  • mengendalikan ikan dengan betul semasa stocking seperti menyelaraskan (acclimatization) kemasinan dan suhu air selama 5-10 minit dan perbezaan kemasinan dan suhu air pada kadar 1-2 ppt sahaja;
  • pukat sangkar hendaklah didalamkan sehingga keparas dalaman 3 meter atau lebih bergantung kepada kedalam tapak sangkar, serta memastikan sauh pukat diposisi yang betul bagi mengelak pukat berlaga antara satu sama lain yang boleh merosakkan struktur sangkar ikan tersebut; dan
  • memastikan struktur-struktur sangkar kuat dan selamat serta ditambat dengan kukuh selaras dengan Syarat-Syarat Lesen Ladang Ternakan Ikan (Dalam Sangkar) Di Bawah Peraturan 4 (3) Peraturan-Peraturan Perikanan (Ladang Ternakan Ikan), 2002 Perintah Perikanan, 2009.

Bagi keterangan lanjut para nelayan dan pengusaha-pengusaha ternakan ikan bolehlah merujuk kepada laman sesawang resmi Jabatan Perikanan di www.fisheries.gov.bn, manakala bagi mengetahui keadaan cuaca para nelayan dan pengusaha-pengusaha ternakan ikan bolehlah merujuk kepada ke laman sesawang Jabatan Kaji Cuaca di http://bruneiweather.com.bn/weather


Dikeluarkan oleh:

Jabatan Perikanan

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan​


Attachments