Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

10.6.2024_MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI LAUTAN SEDUNIA 2024

Brunei Muara, 10 Jun 2024M - Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan

Pelancongan telahpun melancarkan sambutan Hari Lautan Sedunia 2024 bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2024 (MYCE 2024) pada hari Isnin, 10 Jun 2024 di Dewan Nur Huda, Kompleks Perikanan Muara, Jabatan Perikanan yang mana telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Hari Lautan Sedunia 2024 yang diraikan pada setiap 8hb Jun, merupakan inisiatif global yang
dilaksanakan bagi memangkin tindakan untuk lautan dan iklim dengan tema tindakan pada tahun ini iaitu ‘Catalyzing Action for Our Ocean and Climate’. Pada tahun ini bersempena
dengan sambutan Hari Lautan Sedunia 2024, telah dianjurkan acara ‘Ocean Week Brunei’, yang mana merupakan kerjasama di antara Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama
dan Pelancongan dan Poni Divers Brunei yang mana telah diadakan bermula pada 31 Mei sehingga 10 Jun 2024. Pelbagai acara menarik telah diaturkan oleh Jabatan Perikanan dan Poni
Divers Brunei antaranya acara ‘Ocean Sustainability Conference - Investing in Ocean Futures’ pada 6 Jun 2024, acara ‘National Coastal Marvel and Shore Cleanup’ pada 9 Jun 2024, majlis
perasmian sambutan Hari Lautan Sedunia 2024 pada 10 Jun 2024 dan beberapa acara sampingan lain.

Acara ‘Ocean Week Brunei’ ini diadakan antaralain bagi menyatukan pihak Kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi, dan lain-lain agensi yang berkepentingan untuk menangani isu-isu yang dihadapi dalam pemeliharaan marin di rantau ini , disamping untuk menjadi inspirasi kepada generasi akan datang mengenai kepentingan kerjasama semua lapisan masyarakat dalam sama-sama menjaga kelestarian alam sekitar marin serta mendokong usaha Ekonomi Biru Brunei Darussalam. Ekonomi biru (Blue Economy) telah dikenal pasti sebagai strategi utama untuk mengekalkan biodiversiti marin. Nilai teras ekonomi biru terletak pada keseimbangan antara mengekalkan ekosistem marin yang sihat dan memastikan manfaat ekonomi dapat diraih
daripada sumber persisiran pantai dan marin untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan. Dengan mempunyai alam sekitar marin dan persisiran pantai yang bersih dan sehat, boleh mewujudkan pusat pertumbuhan yang baharu berkaitan dengan aktiviti pelancongan maritim selain dapat menyumbang kepada kesan positif pertumbuhan ekonomi,
alam sekitar dan sosial kepada destinasi yang dikunjungi oleh pelancong.

Turut hadir semasa majlis tersebut ialah Yang Mulia Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Yang Mulia
Dayang Hajah Dahliana binti Haji Aliakbar, Timbalan Setiausaha Tetap II, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Yang Mulia Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim,
Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap I, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Dayang Hajah Wanidawati binti Haji Tamat, Pemangku Pengarah Perikanan, ketua-ketua jabatan,
pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan pembukaan daripada Yang Mulia Awang Mohd Tahsin Wong Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Poni Divers Brunei selaku wakil penganjur bersama. Beliau di dalam ucapannya berkata ‘Ocean Week Brunei’ dihasratkan dapat memberikan inspirasi kepada generasi akan datang melalui pendidikan, penglibatan dan pemerkasaan yang mana telah mengumpulkan pihak kerajaan, ahli perniagaan, organisasi berkepentingan dan institusi pendidikan di dalam sama-sama membincangkan cabaran dan penyelesaian pemuliharaan marin setempat serta seluruh dunia agar dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi biru dan kelestarian ekosistem marin negara. Majlis diteruskan dengan tayangan video ‘Brunei Reef Ball Program’, pembentangan ucaptama (keynote speech) daripada Mr. Todd Barber, Pengasas dan Pengerusi The Reef Ball Foundation; sesi pembentangan daripada James Bali, Sarawak Forestry Corporation dan seterusnya diakhiri
dengan sesi demonstrasi ‘Reef Ball Fabrication’ di kawasan Jeti Jabatan Perikanan.

Maklumat lanjut mengenai ‘Ocean Week Brunei’ ada dikongsikan di laman Instagram rasmi
Jabatan Perikanan : @fisheries.bn.



Disediakan oleh:

Jabatan Perikanan
Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
3 Zulhijjah 1445H
10 Jun 2024M


Attachments