Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

15.5.2025_MINI KARNIVAL PERIKANAN

Bandar Seri Begawan, 15 MEI 2025 – Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dengan anjuran bersama Muara International Fish Landing Sdn Bhd (MIFL SDN BHD) mengadakan Mini Karnival Perikanan selama empat hari bermula dari hari ini, Khamis, 15 Mei 2025 hingga Hari Ahad, 18 Mei 2025 bertempat di Kompleks Pendaratan Ikan Muara.  Aktiviti Mini Karnival ini adalah merupakan salah satu inisiatif dan usaha bagi mendokong para pengusaha perikanan dalam membekalkan hasil produk berkualiti tinggi terus kepada pengguna serta sebagai satu platform bagi para pengusaha berinteraksi langsung dengan orang awam dalam mempromosikan hasil produk mereka. Usaha ini dilihat dapat membantu meningkatkan keupayaan pengusaha dalam menyumbangkan penghasilan dalam pasaran tempatan dan luar negeri. 

Seramai 19 pengusaha-pengusaha yang berdaftar di bawah Jabatan Perikanan merangkumi tiga (3) sektor Industri iaitu Industri Tangkapan, Akuakultur dan Pemprosesan turut serta dalam aktiviti jualan hasil/produk keluaran masing-masing. Aktiviti jualan produk-produk perikanan akan bermula pada jam 8.00 pagi sehingga jam 4.00 petang (khamis hingga ahad), kecuali pada hari Jumaat, di mana jualan akan bermula pada jam  8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan disambung semula pada jam 2.00 petang hingga 4.00 petang.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir bagi mendapatkan pelbagai hasil laut segar seperti ikan, udang dan sotong, manakala pengusaha dalam sektor akuakultur akan menawarkan ikan ternakan laut berkualiti tinggi seperti ikan selungsong dan tilapia. Disamping itu, pengusaha dalam sektor pemprosesan makanan laut pula akan memasarkan pelbagai produk berasaskan hasil perikanan seperti produk ikan beku, tambah nilai, keropok, belacan, dan ikan masin. Acara Mini Karnival Perikanan ini adalah terbuka kepada semua pengunjung sama ada dari dalam mahupun luar negara.  

Disediakan oleh:
Jabatan Perikanan
Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
Bandar Seri Begawan
Negara Brunei Darussalam​


Attachments