Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

18.6.2025_LATIHAN ASAS KESELAMATAN ATAU “BASIC SAFETY TRAINING” (BST)

Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan telah menganjurkan LatihanAsas Keselamatan atau "Basic Safety Training" (BST) khusus kepada pemilik kapal dan krew kapal penangkapan ikan tempatan yang berdaftar di Negara Brunei Darussalam dan Pegawai serta Kakitangan Jabatan Perikanan selama enam (6) hari bermula pada hari Rabu, 11 Jun 2025 hingga hari Rabu, 18 Jun 2025 bertempat di Dewan Nur Huda, Jabatan Perikanan dan di Jeti Kompleks Pendaratan Ikan, Muara. Kursus ini telah dikendalikan oleh dua orang tenaga pengajar daripada Syarikat Goldenaire.

Di antara objektif latihan ini diadakan adalah bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kepada
pemilik kapal dan krew kapal penangkapan ikan terutama kapten kapal dan teknisyen kapal penangkapan ikan tempatan dari segi aspek langkah-langkah keselamatan di atas kapal semasa beroperasi menangkap ikan termasuk pemantauan keatas peralatan dan sistem navigasi serta peralatan bilik jentera dan pemanduan kapal yang selamat dengan menyediakan latihan secara teori dan praktikal. Selain daripada itu, pemilik kapal dan krew kapal penangkapan ikan yang menghadiri latihan tersebut juga akan dapat memperolehi sijil mengikuti Latihan Asas Keselamatan atau "Basic Safety Training" tersebut bagi keselamatan dan keekapan semasa beroperasi dan berada di atas kapal yang merupakan salah satu keperluan minima bagi kapal-kapal penangkapan ikan tempatan diberikan pengesahan layak belayar atau "seaworthiness". Disamping itu, kapal penangkapan ikan juga dikehendaki untuk dilengkapi dengan peralatan keselamatan yang sentiasa dalam keadaan baik dan boleh digunakan sebagaimana yang dinyatakan di dalam salah satu syarat lesen alat menangkap ikan menggunakan kapal.

Dihari terakhir latihan tersebut, telah diadakan Majlis Penyampaian Sijil Latihan Asas Keselamatan kepada sejumlah 80 peserta yang telah berjaya mengikuti latihan berkenaan yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Wanidawati binti Haji Tamat, Pemangku Pengarah Perikanan selaku Tetamu Kehormat Majlis.



Disediakan oleh:
Jabatan Perikanan
Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
Negara Brunei Darussalam​


Attachments